TADABBUR PILIHAN JUZUK 21 – RASULULLAH SAW TIDAK KIDAL

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 21 sempena hari ke 21 Ramadhan adalah:

وَمَا كُنْتَ تَتْلُو مِنْ قَبْلِهِ مِنْ كِتَابٍ وَلَا تَخُطُّهُ بِيَمِينِكَ إِذًا لَارْتَابَ الْمُبْطِلُونَ (48) بَلْ هُوَ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ فِي صُدُورِ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَمَا يَجْحَدُ بِآيَاتِنَا إِلَّا الظَّالِمُونَ (49)

Ertinya: Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini dan tidak pula tahu menulisnya dengan TANGAN KANANMU; (kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentangmu akan merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu) (al-‘Ankabut 29:48).

Ayat ini memberi bukti mudah betapa al-Quran itu benar datang daripada Allah dan bukannya rekaan Baginda Rasulullah SAW kerana semua penduduk Mekah tahu Baginda SAW selama 40 tahun bersama mereka dalam keadaan tidak membaca dan tidak menulis. Mana mungkin tiba-tiba ketika berusia 40 tahun Baginda mampu mencetus kejutan dengan membawa sebuah Kitab yang sangat tinggi nilai bahasa Arabnya. Tidak lain, kitab ini memang datang dari Tuhan Yang Satu!

Maklumat ini semua tahu dengan jelas, namun jarang perasan tentang “TANGAN KANAN” yang disebut ayat ini. Boleh sahaja Allah sebut dalam ayat ini “TANGANMU” tanpa menyebut “TANGAN KANANMU.” Ketika mengulas perihal tangan kanan dalam ayat di atas, para ulama mengatakan Allah menyebut kanan dan bukannya kiri sebagai suatu kebiasaan kerana majoriti orang menggunakan tangan kanan (Tafsir Ibn Kathir). Walaupun begitu, keutamaan menggunakan tangan kanan dalam urusan utama kita seperti makan, minum dan sebagainya disokong Sabda Junjungan SAW ini:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ

Ertinya: Apabila salah seorang daripada kamu ingin makan, maka makan dan minumlah dengan tangan kanan kerana sesungguhnya syaitan makan dan minum dengan tangan kiri (Sahih Muslim, hadith no 3764).

Jika kita telusuri al-Quran, kita akan jumpa rupanya ada dua Nabi yang disebut Allah selalu beraksi dengan tangan kanan:

1) Nabi Ibrahim AS ketika memperlekehkan berhala sembahan kaumnya yang beku memukul berhala tersebut dengan tangan kanan:

فَرَاغَ إِلَى آَلِهَتِهِمْ فَقَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ (91) مَا لَكُمْ لَا تَنْطِقُونَ (92) فَرَاغَ عَلَيْهِمْ ضَرْبًا بِالْيَمِينِ (93) فَأَقْبَلُوا إِلَيْهِ يَزِفُّونَ (94)

Ertinya: Lalu dia (Nabi Ibrahim AS) pergi kepada berhala mereka secara bersembunyi, serta dia bertanya (kepada berhala itu, secara mengejek): “Mengapa kamu tidak makan? “Mengapa kamu tidak menjawab?” Lalu dia memukul semua berhala itu DENGAN TANGAN KANANNYA (sehingga pecah berketul-ketul). (Setelah kaumnya mengetahui hal itu) maka datanglah mereka beramai-ramai kepadanya (al-Saffat 37:91-94).

2) Pada saat awal menerima wahyu, Nabi Musa AS memegang tongkatnya dengan tangan kanan. Lalu Allah berfirman:

وَما تِلكَ بِيَمينِكَ يٰموسىٰ
Ertinya: (Allah bertanya) Dan apa (bendanya) yang berada pada TANGAN KANANMU itu wahai Musa?(Taha 20:17).

Jangan pula anda salah faham bertanya, kenapa Allah tanya Musa. Bukanlah Allah tak tahu perihal tongkat Musa itu tetapi Allah mahu menunjukkan bahawa tongkat Musa itu akan menjadi sesuatu yang sangat istimewa dalam seruan dakwah Baginda.

Bukan hanya itu, tangan kanan tetap istimewa kerana penentuan nasib bahagia atau derita di akhirat kelak turut ditentukan dengan penyerahan kitab amalan dengan tangan kanan atau kiri (al-Waqi’ah 56:27-44 dan al-Haqqah 69:19-24).
Lalu ada yang berkata, malanglah si kidal kerana kidalnya bukan atas pilihannya tapi ditentukan Allah semenjak tangannya mulai memegang dan seawal kakinya mulai menapak. Menyatakan adab Islam tentang keutamaan kanan dalam kebanyakan aktiviti bukan bermaksud merendahkan orang yang kidal. Itu adalah anugerah Allah kepada mereka. Namun begitu pastikan aktiviti utama kita seperti yang disebut di atas dilakukan dengan tangan kanan kerana ia saranan Baginda SAW.

98150438_10217260882379487_5799833792529039360_n




Comments are Closed