TADABBUR PILIHAN JUZUK 22 – 3 JENIS MANUSIA DENGAN AL-QURAN – DI MANA KITA?

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 22 sempena hari ke 22 Ramadhan adalah:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ (32)

Ertinya: Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi orang yang Kami pilih dalam kalangan hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (kerana tidak mengendahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata) (Fatir 35:32).

Ayat ini menjelaskan kemuliaan orang Islam atau umat Muhammad SAW dengan pemberian kitab langit yang terbaik; al-Quran. Walaupun dianugerahi nikmat yang terbaik, umat ini terbahagi kepada tiga kumpulan:

1) Golongan yang mengabaikan al-Quran dan Islam. Mereka tak pernah peduli atau tak endah al-Quran. Tambah parah ada yang sampai akhir hayatnya tak pandai mengaji atau tak pernah ambil inisiatif untuk belajar al-Quran. Mereka ini seumpama orang yang mati kurus kerana kelaparan sedangkan hidangan sedap penuh zat sudah lama terhidang di depan mata. Selain itu, mereka ini sering mengabaikan yang wajib dan terbabas melakukan yang terlarang (Tafsir Ibn Kathir). Ada juga yang menyifatkan mereka ini golongan umat Islam yang menerima kitab amalan di akhirat kelak dengan tangan kiri (Tafsir al-Tabari).

2) Golongan pertengahan yang ada pasang surutnya dengan al-Quran dan Islam. Mereka sedar kepentingan al-Quran dan cuba sedaya mampu untuk mendalami al-Quran. Mereka melakukan amalan wajib, meninggalkan yang haram, kadangkala meninggalkan yang sunat dan terbabas melakukan yang makruh (Tafsir Ibn Kathir). Mereka ini golongan umat Islam yang menerima kitab amalan di akhirat kelak dengan tangan kanan (Tafsir al-Tabari).

3) Golong terbaik yang sentiasa serius berdamping dengan al-Quran dan patuh mempraktik segala ajaran Islam. Segala yang wajib dan sunat dilakukan tanpa soal, yang haram dan makruh dijauhi sedaya upaya. Al-Quran dan Islam bagi mereka seperti oksigen untuk diri (Tafsir Ibn Kathir). Di akhirat kelak, mereka terus dimasukkan ke syurga tanpa audit. Pun begitu, golongan ini usah sombong atau memandangkan rendah dua golongan pertama kerana “minat mendalam kepada al-Quran dan Islam” berlaku dengan izin Allah. Boleh sahaja Allah tarik rasa dan minat itu kerana hati jantung manusia mutlak dalam kuasa Allah.

Ayuh kita berdoa agar ditempatkan dalam golongan ketiga atau kedua. Iringi doa tersebut dengan usaha keras mendalami al-Quran dan Islam. Juga jangan dilupakan temah handai kita yang masih berada di takuk lama golongan pertama kerana kita mahu ke syurga bersama bukannya sendirian.

97359441_10217277026503080_2319467216707256320_n




Comments are Closed