TADABBUR PILIHAN JUZUK 23 – JARANG TAHU KISAH DOA NABI YUNUS INI

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 22 sempena hari ke 22 Ramadhan adalah:

وَإِنَّ يُونُسَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ (139) إِذْ أَبَقَ إِلَى الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ (140) فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنَ الْمُدْحَضِينَ (141) فَالْتَقَمَهُ الْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌ (142) فَلَوْلَا أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ (143) لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ (144)

Ertinya: Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari para Rasul (Kami) yang diutus. (Ingatkanlah peristiwa) ketika dia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat. (Dengan satu keadaan yang terpaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu jadilah dia dari orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut). Setelah itu dia ditelan oleh ikan besar, sedang dia berhak ditegur. MAKA KALAULAH DIA (DAHULUNYA KETIKA SENANG) BUKAN DARIPADA ORANG YANG SENTIASA MENGINGATI ALLAH (DENGAN ZIKIR DAN TASBIH), SUDAH PASTI DIA AKAN TINGGAL (BERKUBUR) DALAM PERUT IKAN ITU HINGGA KE HARI MANUSIA DIBANGKITKAN KELUAR DARI KUBUR (al-Saffat 37:139-144).

Ayat ini menceritakan kisah Nabi Yunus AS secara lengkap dan “APA RAHSIA UTAMA” penerimaan doa Baginda AS ketika terperangkap dalam perut ikan iaitu KEBIASAAN BAGINDA BERDOA KEPADA ALLAH KETIKA SENANG DAN LAPANG. Biasanya apabila berbicara tentang kisah Nabi Yunus, kita hanya fokus pada lafaz doa yang Baginda ucapkan dalam perut ikan sahaja:

وَذَا النُّونِ إِذْ ذَهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَنْ لَنْ نَقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ (87) فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَنَجَّيْنَاهُ مِنَ الْغَمِّ وَكَذَلِكَ نُنْجِي الْمُؤْمِنِينَ (88)

Ertinya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika dia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka dia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah daripada orang yang menganiaya diri sendiri”. Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami) (al-Anbiya’ 21:87-88).
Tidak dinafikan, lafaz yang indah memainkan peranannya tersendiri dalam menjamin penerimaan sesuatu doa. Bagi lafaz di atas Rasulullah SAW mengakuinya:

دَعْوَةُ ذِي النُّونِ إِذْ دَعَا وَهُوَ فِي بَطْنِ الْحُوتِ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنْ الظَّالِمِينَ فَإِنَّهُ لَمْ يَدْعُ بِهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا اسْتَجَابَ اللَّهُ لَهُ

Ertinya: Doa nabi Yunus yang dibacanya ketika dalam perut ikan iaitu “Tiada Tuhan Melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku tergolong dalam orang yang berlaku zalim” (adalah lafaz doa yang sangat istimewa), tiada seorang pun Muslim yang menggunakan lafaz doa ini melainkan akan dimakbulkan Allah baginya (Sunan al-Tirmidhi, hadis nombor 3427).

Pun begitu, kisah nabi Yunus dan doanya “ADA SEJARAH AWAL YANG JARANG DIKETAHUI” iaitu baginda AS ketika waktu senangnya senantiasa mengingati Allah secara konsisten dan agresif. Rupanya inilah punca utama mengapa doa baginda AS tatkala kesusahan dalam perut ikan senang dimakbulkan Allah sebagaimana disebut ayat 143-144 surah al-Saffat di atas.

Mudahnya saya kata kunci penerimaan doa seseorang hamba adalah sejauh mana kesungguhan serta konsistennya dia mengingati Allah ketika senang. Abdullah Ibn ‘Abbas menceritakan Rasulullah SAW pernah berpesan kepadanya dalam sabda baginda:

تَعَرَّفْ إِلَى اللَّهِ فِي الرَّخَاءِ يَعْرِفْكَ فِي الشِّدَّةِ

Ertinya: Kenalilah (ingatilah) Allah ketika senang, pastinya Dia akan mengenalimu ketika sukar (Mustadrak al-Hakim, hadith no 6364).

Kisah doa nabi Yunus boleh dianalogikan tabiat suka menyimpan ketika senang oleh seorang yang bijak. Apabila tiba waktu genting atau zaman kemelesetan ekonomi, dia tak risaukan kemiskinan atau kesusahan kerana simpanan hartanya selalu ada. Ayuh ubah tabiat kita, berdoalah kepada Allah sepanjang masa, kerana ia menjadi simpanan penting ketika kita susah.

96827526_10217277510915190_2504222433309884416_n




Comments are Closed