TADABBUR PILIHAN JUZUK 24 – ABU BAKAR JAUH LEBIH BERANI!!

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 24 sempena hari ke 24 Ramadhan adalah:

وَقَالَ رَجُلٌ مُؤْمِنٌ مِنْ آلِ فِرْعَوْنَ يَكْتُمُ إِيمَانَهُ أَتَقْتُلُونَ رَجُلًا أَنْ يَقُولَ رَبِّيَ اللَّهُ وَقَدْ جَاءَكُمْ بِالْبَيِّنَاتِ مِنْ رَبِّكُمْ وَإِنْ يَكُ كَاذِبًا فَعَلَيْهِ كَذِبُهُ وَإِنْ يَكُ صَادِقًا يُصِبْكُمْ بَعْضُ الَّذِي يَعِدُكُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ كَذَّابٌ

Ertinya: Dan (pada saat itu setelah Firaun memutuskan mahu membunuh Nabi Musa) pula seorang lelaki beriman dalam kalangan orang Firaun yang menyembunyikan imannya berkata: “Patutkah kamu membunuh seorang lelaki (hanya) kerana dia menegaskan: `Tuhanku ialah Allah? ‘ – sedang dia datang kepada kamu membawa keterangan dari Tuhan kamu? Kalau dia seorang yang berdusta maka dia lah yang akan menanggung dosa dustanya itu, dan kalau dia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpa oleh sebahagian dari (azab) yang dijanjikannya kepada kamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta. (Ghafir 40:28).

Ayat ini menceritakan tindakan lelaki bangsa Firaun yang bangkit mempertahankan Nabi Musa AS setelah Firaun memutuskan mahu membunuh Nabi Musa (rujuk ayat 26). Alasan lelaki beriman ini sangat logic sebenarnya, iaitu jika Musa berdusta dalam dakwaan kerasulannya maka dia akan tanggung dosa berdusta atas nama Tuhan, tapi jika dia benar-benar utusan Tuhan, aduhai habislah kita semua.

Kita mungkin hairan kenapa lelaki ini begitu berani menegur Firaun yang sangat kejam? Boleh jadi teguran beliau ini dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan Firaun. Setelah Firaun menegaskan mahu membunuh Musa, beliau tampil memberi nasihat kepada Firaun atas nama “pengurusan risiko” seolah dia berkata “Tuanku patut risau jatuhnya populariti Tuanku di mata orang Mesir kerana mahu membunuh Musa hanya kerana dia menyembah Tuhan lain, sedangkan dia tidak memberi apa-apa ancaman besar pun pada Mesir.” Sudut ini agak logik kerana ahli politik seperti Firaun sangat pentingkan populariti untuk terus bertahan.

Atau, boleh jadi dia sudah tidak tahan melihat kezaliman Firaun dan mahu mempertahankan Nabi dan Rasul yang dia imani. Jika ini sudut tindakannya, memang dia berani dan menepati sejenis jihad yang terbaik sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ مِنْ أَعْظَمِ الْجِهَادِ كَلِمَةَ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ

Ertinya: Sesungguhnya antara jihad terbesar adalah (seseorang yang berani) berkata benar ketika berhadapan dengan pemimpin yang jahat (Sunan al-Tirmidhi, hadith no 2100 dan Sunan Abu Dawud, hadith no 3781).

Apa kesudahan nasib lelaki berani ini? Adakah dia ditangkap dan dibunuh kejam seperti Firaun membunuh semua ahli sihirnya yang beriman kepada Nabi Musa? Alhamdulillah, beliau selamat daripada kekejaman Firaun berdasarkan firman Allah:

فَسَتَذْكُرُونَ مَا أَقُولُ لَكُمْ وَأُفَوِّضُ أَمْرِي إِلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ (44) فَوَقَاهُ اللَّهُ سَيِّئَاتِ مَا مَكَرُوا وَحَاقَ بِآلِ فِرْعَوْنَ سُوءُ الْعَذَابِ (45)

Ertinya: “(Jika kamu semua wahai bangsa Firaun tetap berdegil)) maka kamu sudah tentu akan mengetahui kebenaran apa yang aku katakan kepada kamu; dan aku sentiasa menyerahkan urusanku hanya kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-Nya”. (Dengan keikhlasannya dan penyerahan dirinya kepada Allah) MAKA DIA DISELAMATKAN OLEH ALLAH DARIPADA ANGKARA TIPU DAYA MEREKA; dan Firaun bersama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya (Ghafir 40:44-45).

Itu kisah keberanian lelaki itu, saya mahu kongsi pula kisah keberanian Abu Bakar. Pernah seorang tabi’in, ‘Urwah bin al-Zubayr bertanya seorang sahabat, Abdullah bin ‘Amru tentang kejahatan paling dahsyat dilakukan Musyrikin Quraysh terhadap Rasulullah SAW semasa Baginda berada di Mekah. Abdullah lalu menceritakan pernah melihat Syaitan Quraysh, ‘Uqbah bin Abu Mu’ayt menerpa kepada RAsulullah SAW yang sedang solat. Dia menjerut leher Baginda sekuat hati dengan kain selempangnya. Pada waktu itu, Abu Bakar RA datang menolaknya seraya membaca potongan ayat surah Ghafir di atas yang bermaksud “PATUTKAH KAMU MEMBUNUH SEORANG LELAKI (HANYA) KERANA DIA MENEGASKAN: `TUHANKU IALAH ALLAH?” (Sahih al-Bukhari, hadith no 3402).

Dalam sebuah riwayat lain Sayyidina Ali RA pernah menangis keharuan ketika memuji Abu Bakar sebagai orang yang paling berani kerana sanggup meredah gerombolan Musyrikin Quraysh yang sedang mengkeronyok Rasulullah SAW sedang para sahabat lain tiada yang seberani beliau. Ketika bertubi-tuni menahan serangan dari segenap penjuru ke atas Rasulullah SAW, Abu Bakar menjerit: “Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana ia menegaskan: `Tuhanku ialah Allah? “. Ali lalu menyambung: “ABU BAKAR JAUH LEBIH BERANI KERANA TIDAK MENYEMBUNYIKAN IMANNYA, BERBANDING LELAKI BERIMAN DALAM KISAH FIRAUN YANG MENYEMBUNYIKAN IMANNYA” (Tafsir Fath al-Qadir Imam al-Syawkani).

Masya-Allah! Abu Bakar RA dan lelaki beriman dalam surah Ghafir ini sudah nyata bukti iman dan pengorbanan mereka kepada agama Allah. Marilah kita berdoa agar Allah jaga dan bimbing kita agar sentiasa teguh dalam kebenaran dan berani mempertahankan kebenaran.

98979198_10217286310735180_2763749933864452096_n




Comments are Closed