TADABBUR PILIHAN JUZUK 25 – KALAH HUJAH SERANG PERIBADI

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 25 sempena hari ke 25 Ramadhan adalah:

وَنَادَى فِرْعَوْنُ فِي قَوْمِهِ قَالَ يَاقَوْمِ أَلَيْسَ لِي مُلْكُ مِصْرَ وَهَذِهِ الْأَنْهَارُ تَجْرِي مِنْ تَحْتِي أَفَلَا تُبْصِرُونَ (51) أَمْ أَنَا خَيْرٌ مِنْ هَذَا الَّذِي هُوَ مَهِينٌ وَلَا يَكَادُ يُبِينُ (52)

Ertinya: Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: “Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini – akulah yang menguasainya, dan sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? Tidakkah kamu melihatnya? “Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya? (al-Zukhruf 43:51-52).

Ayat ini menceritakan cara Firaun menyerang peribadi Nabi Musa AS setelah melihat dakwah dan mukjizat Nabi Musa AS semakin terserlah di Mesir. Ini tanda orang yang muflis hujah. Sepatutnya hujah dilawan hujah dan bukannya hujah dibalas serangan peribadi. Tujuan utama Firaun adalah mengekalkan keyakinan penduduk Mesir tentang kepimpinannya. Boleh jadi ada pengikutnya yang bodoh termakan teknik serang peribadi itu.

Jika kita teliti beberapa surah yang membicarakan dialog Firaun dengan Nabi Musa, kita boleh nampak betapa Firaun adalah MAHAGURU POLITIK JAHAT LICIK seluruh dunia. Mengapa? Banyak teknik Firaun dimainkan semula rakamannya oleh ramai ahli politik dunia sepanjang zaman:

1) Memainkan isu patriotism dan kepentingan menjaga kedaulatan Negara. Sering didengar dialog ini: “Jangan gadai nasib bangsa, negara dan anak cucu dengan menyokong parti itu. Pemimpinnya adalah AGEN ASING YANG MAHU MENGGADAI NEGARA.” Lihat apa yang Firaun ucapkan kepada kaumnya:

قَالَ لِلْمَلَإِ حَوْلَهُ إِنَّ هَذَا لَسَاحِرٌ عَلِيمٌ (34) يُرِيدُ أَنْ يُخْرِجَكُمْ مِنْ أَرْضِكُمْ بِسِحْرِهِ فَمَاذَا تَأْمُرُونَ (35)

Ertinya: Firaun berkata kepada ketuaketua kaum yang ada dikelilingnya: “Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir. “DIA BERTUJUAN HENDAK MENGELUARKAN KAMU DARI NEGERI KAMU DENGAN SIHIRNYA, maka apa yang kamu syorkan?” (al-Syu’ara’ 26:34-35).

2) Memutar belit fakta. Yang fakta menjadi auta, manakala auta diyakinkan sebagai fakta. Lihat sahaja nasib Islam yang suci dipandang kotor lagi hina dengan label pengganas oleh media Barat yang dipegang oleh pembenci Islam. Ini juga strategi Firaun di kala pakar sihirnya tersungkur kalah pada mukjizat nabi Musa AS:

قَالَ آَمَنْتُمْ لَهُ قَبْلَ أَنْ آَذَنَ لَكُمْ إِنَّهُ لَكَبِيرُكُمُ الَّذِي عَلَّمَكُمُ السِّحْرَ فَلَسَوْفَ تَعْلَمُونَ لَأُقَطِّعَنَّ أَيْدِيَكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ مِنْ خِلَافٍ وَلَأُصَلِّبَنَّكُمْ أَجْمَعِينَ
Ertinya: Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku izinkan kamu? SESUNGGUHNYA DIA LAH (MUSA) KETUA KAMU YANG MENGAJAR KAMU ILMU SIHIR; oleh itu kamu akan mengetahui kelak (akibatnya). Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang kemudian aku akan memalang kamu semuanya” (al-Syu’ara’ 26:49]).

Tuduhan palsu ke“KETUA”an nabi Musa AS ke atas para ahli sihir turut disebut dalam surah lain:

قَالَ فِرْعَوْنُ آَمَنْتُمْ بِهِ قَبْلَ أَنْ آَذَنَ لَكُمْ إِنَّ هَذَا لَمَكْرٌ مَكَرْتُمُوهُ فِي الْمَدِينَةِ لِتُخْرِجُوا مِنْهَا أَهْلَهَا فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ

Ertinya: Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu? SESUNGGUHNYA INI ADALAH PERBUATAN TIPU DAYA YANG KAMU (WAHAI MUSA DAN AHLI SIHIR) LAKUKAN DALAM BANDAR INI KERANA KAMU HENDAK MENGELUARKAN PENDUDUKNYA DARI PADANYA. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatya) (al-A’raf 7:123).

Tuduhan Firaun sebenarnya sangat mengarut kerana Musa AS belum pernah bertemu dengan seluruh pakar dan johan sihir dalam empayar Mesir, namun kenyataan tersebut tetap dikeluarkan Firaun sejurus kekalahannya. Mengapa? Tidak lain, ini antara strategi Firaun bagi mengelirukan sesetengah rakyatnya yang bodoh. Strategi inilah yang banyak digunakan oleh sesetengah ahli politik sepanjang zaman bagi mengekalkan kuasanya.

Dunia ini berputar dengan putaran yang sama daripada dahulu sehingga kiamat. Kisah lampau dinamakan sejarah, namun paparannya tetap sama. Yang berbeza hanya masa, lokasi dan watak yang memainkan peranan dalam sejarah. Semoga kita selamat daripada teknik politik anak-anak murid atau anak cucu Firaun.

97781923_10217295788692123_3844638592034930688_n




Comments are Closed