TADABBUR PILIHAN JUZUK 26 – PERIHAL 30 BULAN YANG SANGAT SAINTIFIK

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 26 sempena hari ke 26 Ramadhan adalah:

وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا ۚ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Ertinya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. SEDANG TEMPOH MENGANDUNGNYA BESERTA DENGAN TEMPOH MENCERAIKAN SUSUNYA IALAH DALAM MASA 30 BULAN. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, berdoalah dia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)” (al-Ahqaf 46:15).

Ayat ini menyebut ketinggian kedudukan ibu bapa yang perlu dihormati setiap muslim. Penghormatan itu lebih utama diberikan kepada ibu yang bersusah mengandung serta menyusu untuk tempoh yang lama iaitu 30 bulan.

Rupanya penyataan tempoh 30 bulan ini punyai nilai ilmu yang tinggi. Bagaimana? Dalam ayat lain Allah menyebut tempoh susuan bayi secara sempurna adalah selama 2 tahun atau 24 bulan:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Ertinya: Dan para ibu hendaklah menyusukan anak mereka selama 2 TAHUN CUKUP, iaitu bagi sesiapa yang ingin menyempurnakan tempoh susuan (al-Baqarah 2:233).

Juga firman Allah:

وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ

Ertinya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), DAN TEMPOH MENCERAIKAN SUSUNYA IALAH DALAM MASA DUA TAHUN; (Luqman 31:14).

Setelah ditolak angka 30 bulan dengan 24 bulan atau 2 tahun, maka baki bulan kandungan bagi seorang wanita adalah 6 bulan. Maksudnya seorang bayi mampu hidup sempurna walaupun lahir pada usia 6 bulan. Bahkan menurut ilmu fiqh, mana-mana bayi yang lahir 6 bulan selepas perkahwinan masih dianggap sebagai anak sah taraf dan boleh di”bin”kan kepada si bapa.

Pernah berlaku sebuah kisah pada zaman khalifah Uthman ibn ‘Affan RA, di mana seorang wanita melahirkan anak yang berusia 6 bulan. Suaminya sangsi dan menuduh si isteri melahirkan anak luar nikah yang bukan anaknya. Kes ini kemudiannya diselesaikan oleh Sayyidina Ali bin Abi Talib RA yang menggunakan matematik ayat ini (Tafsir Ibn Kathir).

Subhanallah! Inilah caranya al-Quran mendidik kita, lantunan ilmunya sangat menyeluruh. Bicara al-Quran bukan hanya menyentuh soal akhlak, akidah atau fiqh, tetapi merangkumi ilmu perubatan moden dan ilmu matematik. Tinggal lagi bagaimana cara kita mengorek khazanah ilmu al-Quran. Al-Quran seumpama gedung ilmu yang luas. Pintunya banyak dan perlu dibuka dengan berbagai kunci daripada berbagai bidang ilmu. Oleh itu, dalamilah berbagai bidang ilmu bagi menerokai mukjizat Rasulullah SAW ini.

97551923_10217301734200757_7559575201864744960_n




Comments are Closed