TADABBUR PILIHAN JUZUK 27 – SURAH MURAH REZEKI ATAU CUKUP BEKAL AKHIRAT?

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Sebut sahaja surah al-Waqi’ah, ramai beranggapan ia surah Murah (lapang) rezeki. Sesiapa yang selalu bacanya akan mudah senang atau kaya raya. Memang ramai yang rungsing makan tak cukup atau harta berkurang, tapi SEDIKIT YANG RISAU BEKAL TIDAK CUKUP KE AKHIRAT. Adakah surah ini “MAGNET REZEKI” atau surah berkaitan “BEKAL AKHIRAT? Tadabbur ringkas pagi ke 27 Ramadhan ini akan membicarakan isu ini.

Dalam sebuah riwayat dilaporkan, ketika Abdullah bin Mas’ud RA hampir meninggal dunia, dia diziarahi khalifah Uthman bin ‘Affan RA. Khalifah ‘Uthman bertanya perihal kerunsingannya. Abdullah berkata dia tidak risau kefaqiran kepada anak-anaknya kerana sabda Rasulullah SAW:

من قرأ سورة الواقعة في كل ليلة لم تصبه فاقة أبداً

Ertinya: Sesiapa yang membaca surah al-Waqi’ah setiap malam tidak akan ditimpa kefaqiran selamanya (Imam al-Bayhaqi meriwayatkannya dalam Sa’b al-Iman, hadith no 2397).

Hadith ini dihukum lemah oleh ramai para ulama Hadith seperti Imam Ahmad, Imam Abu Hatim, Imam al-Daruqutni, Imam al-Bayhaqi dan sebagainya. Pun begitu atas umumnya kelebihan membaca al-Quran, surah ini boleh dibaca sebagai amalan bersama surah lain untuk mendapat hidayah daripada isinya dan ganjaran pahala pada setiap hurufnya.

Dalam hadith lain, Abu Bakar RA terkejut melihat kepala Rasulullah SAW beruban:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ شِبْتَ قَالَ شَيَّبَتْنِي هُودٌ وَالْوَاقِعَةُ وَالْمُرْسَلَاتُ وَعَمَّ يَتَسَاءَلُونَ وَإِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ

Ertinya: Ibn ‘Abbas menyebut, pada suatu hari Abu Bakar RA bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, engkau sudah beruban?” Baginda menjawab: “(Kedahsayatan isi kandungan) surah Hud, AL-WAQI’AH, al-Mursalat, al-Naba’ dan al-Takwir menjadikan aku beruban (Sunan al-Tirmidhi , hadith no 3219 dan Mustadrak al-Hakim, hadith no 3272).

Aspek “KERISAUAN YANG MENG-UBAN-KAN” kepala Rasulullah SAW pada isi surah ini sepatutnya lebih kita fokus berbanding aspek kaya atau murah rezeki kerana hadith ini lebih sahih dan kita semua pasti ke akhirat sama ada kita ini kaya atau miskin.

Rupanya Rasulullah SAW risau dan gerun dengan nasib umatnya setelah kiamat datang. Surah al-Waqi’ah membicarakan perihal kiamat yang dahsyat. Apa tidaknya, gunung yang kukuh lagi besar pun boleh jadi debu berterbangan dek gegarannya (ayat 4-6). Selepas alam musnah manusia dibahagikan kepada 3 golongan:

1) Golongan paling istimewa (VVIP) yang masuk syurga terus tanpa proses audit (ayat 10 – 26). Golongan ini melibatkan ramai umat sebelum umat Nabi Muhammad SAW dan cuma sedikit kouta untuk umat Nabi kita (ayat 13-14). Pembahagian ini logik sebenarnya kerana “timeline” (jangka masa) umat lampau lebih panjang dan jumlah mereka bermula dari zaman Nabi Adam AS sehingga Nabi Isa AS pun jauh lebih ramai.

2) Golongan kanan yang ditempatkan dalam syurga kelas kedua (ayat 27 – 40). Semua umat setara ramainya menempati syurga ini (ayat 39-40). Jumlah umat Nabi Muhammad SAW yang ramai berada dalam kouta ini jelas menunjukkan ketinggian darjat kita kerana “timeline” di akhir zaman sebelum berlakunya kiamat sangat pendek, tapi tetap diberikan kouta setara umat lampau. Bersyukurlah kerana Allah muliakan kita menjadi umat Baginda SAW.

3) Penghuni neraka yang menerima kitab amalan dengan tangan kiri (ayat 41 – 57). Mereka menerima berbagai seksaan dahsyat kerana 3 jenayah utama iaitu; (3.1) terlalu bermewah di dunia dahulu sehingga melanggar yang haram serta menindas yang susah, (3.2) berterusan melakukan dosa besar dan, (3.3) menolak iman kepada kebangkitan semula di akhirat (ayat 45-48).

Selepas itu Allah mengingatkan kita beberapa nikmat kurniaan-Nya yang tak mampu kita cipta sendiri seperti air mani, tanaman yang tumbuh, hujan yang turun, api DAN YANG PALING UTAMA NIKMAT PENURUNAN AL-QURAN DARI LANGIT (ayat 58-80).

Mudahnya, surah al-Waqi’ah mengingatkan kita agar menyediakan bekal rohani sebanyak mungkin kerana apabila tiba di akhirat, wang ringgit dan emas permata tidak akan diterima sebagai mata wang. Hanya “MATA WANG PAHALA” laku digunakan. Kunyah dan hadamlah aspek Islam, Iman dan Taqwa daripada surah ini sedaya mampu agar ia menjadi makanan berzat untuk rohani kita. Setelah rohani sihat dan segar bugar, kita mampu meraih tiket ke syurga sama ada sebagai VVIP atau golongan kanan. “INILAH REZEKI SEBENAR YANG KITA PERLUKAN.”

97319442_10217309799522385_6113491002138296320_n


Comments are Closed