TADABBUR PILIHAN JUZUK 28 – JANGAN AMBIL NYAWAKU SEBELUM AKU TUNAI HAJI?

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 28 sempena hari ke 28 Ramadhan adalah:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ (9) وَأَنْفِقُوا مِنْ مَا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُنْ مِنَ الصَّالِحِينَ (10)

Ertinya: Wahai orang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya seperti membayar zakat dan menunaikan haji). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itu orang yang rugi. Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku jadi orang yang soleh.” (al-Munafiqun 63:9-10).

Ayat ini memberi dua panduan penting kepada orang beriman agar jangan leka dan jangan bertangguh. Berikut perinciannya:

1) Jangan leka dengan kelebihan harta dan anak-pinak sehingga lupa mengingati Allah. Bagaimana contohnya? Ada yang asyik melayan kerenah anak pinak sehingga mengabaikan hak agama. Ada yang asyik berhibur atau melancong hasil limpahan harta kurniaan Allah kepadanya tapi culas dengan berbagai alasan untuk mengerjakan arahan Allah seperti menunaikan solat, membayar zakat dan menunaikan haji.

2) Hak harta pinjaman Allah seperti zakat, sedekah sunat dan ibadah haji perlu segera ditunaikan tanpa tangguh kerana kita tak tahu bila ajal kita. Apabila nyawa direnggut, mustahil kita boleh kembali semula ke dunia untuk melunaskan segala hutang harta itu.

3) Ajal maut sudah ditentukan Allah secara pasti. Apabila ia datang, harapan penangguhan tidak akan dilayan. Oleh itu, ambil segala peluang semasa hidup dan bukannya setelah malaikat maut mengetuk pintu rumah kita.

Pernah berlaku perdebatan antara sahabat Nabi yang tersohor, Abdullah bin ‘Abbas RA dengan seorang lelaki:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ مَنْ كَانَ لَهُ مَالٌ يُبَلِّغُهُ حَجَّ بَيْتِ رَبِّهِ أَوْ تَجِبُ عَلَيْهِ فِيهِ الزَّكَاةُ فَلَمْ يَفْعَلْ يَسْأَلْ الرَّجْعَةَ عِنْدَ الْمَوْتِ فَقَالَ رَجُلٌ يَا ابْنَ عَبَّاسٍ اتَّقِ اللَّهَ إِنَّمَا يَسْأَلُ الرَّجْعَةَ الْكُفَّارُ قَالَ سَأَتْلُو عَلَيْكَ بِذَلِكَ قُرْآنًا { يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمْ الْخَاسِرُونَ وَأَنْفِقُوا مِنْ مَا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدَكُمْ الْمَوْتُ إِلَى قَوْلِهِ وَاللَّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ }

Ertinya: (Pada suatu hari) Abdullah bin ‘Abbas RA berkata; “Sesiapa punyai harta yang mampu membawanya untuk menunaikan haji ke rumah Allah (Ka’abah), atau harta yang diwajibkan zakat ke atasnya, akan tetapi dia tidak menunaikan keduanya maka dia akan minta dihidupkan kembali setelah mati datang menjengah (supaya dia boleh menunaikan apa yang terlepas).” Berikutan kenyataannya itu seorang lelaki menegurnya: “Wahai Ibn ‘Abbas! Takutlah kamu kepada Allah (dengan kenyataan pelik ini). Sebenarnya yang minta pulang ke dunia setelah mati itu hanya orang kafir dan bukannya orang Islam.” (Lelaki ini merujuk kepada rayuan orang kafir untuk kembali ke dunia dalam surah al-Mu’minun 23:99-100). Abdullah ibn ‘Abbas kemudiannya membaca dua ayat ini (al-Munafiqun 63:9-10) untuk menyokong kenyataannya (Sunan al-Tirmidhi, hadith no 3238).

Hadith ini menjelaskan penyesalan orang beriman terhadap tindakannya dahulu yang suka bertangguh dalam menunaikan ibadah wajib seperti zakat dan haji. Akibatnya, dia mati sebelum sempat melunaskan hak Allah itu. Memang zakat dan haji boleh juga dilunaskan oleh yang hidup bagi pihak si mati denga kaedah badal haji atau zakat bagi pihak, namun kesedapan dan keindahan ibadat yang ditunaikan sendiri jauh lebih tinggi nilainya. Setiap keringat yang menitis ketika menunaikan semua ibadah sendiri pasti lebih besar pahalanya.

Lalu, apa tindakan kita? Tunaikanlah segala tuntutan harta dengan segera tanpa bertangguh. Laksanakan ia ketika roh masih berlegar dalam jasad ini. Buatlah potongan bulanan untuk zakat. Simpan dan daftarlah segera untuk menunaikan haji. Jika takdirnya kita mati sebelum sempat ke Mekah menunaikan haji, kita sudah ada cagaran pelepas tanggung jawab di hadapan Allah. Saya doakan anda semua gigih membayar zakat dan menyimpan bekal untuk menunaikan haji.

97101884_10217317906125045_2270291331521708032_n




Comments are Closed