TADABBUR PILIHAN JUZUK 30 – BIAR MALAIKAT SENTAP JASADNYA SATU PERSATU!

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 30 sempena hari ke 30 Ramadhan adalah:

أَرَأَيْتَ الَّذِي يَنْهَى (9) عَبْدًا إِذَا صَلَّى (10) ………….. كَلَّا لَئِنْ لَمْ يَنْتَهِ لَنَسْفَعًا بِالنَّاصِيَةِ (15) نَاصِيَةٍ كَاذِبَةٍ خَاطِئَةٍ (16) فَلْيَدْعُ نَادِيَهُ (17) سَنَدْعُ الزَّبَانِيَةَ (18) كَلَّا لَا تُطِعْهُ وَاسْجُدْ وَاقْتَرِبْ (19)

Ertinya: ADAKAH ENGKAU NAMPAK (BAIKNYA) ORANG YANG MELARANG (DAN MENGHALANG), SEORANG HAMBA ALLAH )MUHAMMAD SAW) APABILA DIA MENGERJAKAN SEMBAHYANG? ……… Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika dia (Abu Jahal) tidak berhenti (daripada perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan sentap ubun-ubunnya (dan mengheretnya ke dalam neraka), Ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah. Kemudian biarlah dia (Abu Jahal) memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya), Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya)! Ingatlah! JANGANLAH ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) MENURUT KEHENDAKNYA, DAN (SEBALIKNYA) SUJUDLAH DAN DAMPINGKANLAH DIRIMU KEPADA ALLAH (DENGAN TAAT DAN BERAMAL SOLEH)! (al-‘Alaq 96:9-19).

Ayat di atas menyebut larangan menghalang mana-mana hamba Allah sujud kepada-Nya. Dalam kisahnya, ia menyebut cubaan musuh Allah (Abu Jahal) menghalang Rasulullah SAW daripada sujud kepada Allah. Berikutan cubaannya itu, dia akan dikeronyok kasar oleh malaikat Zabaniyyah dalam neraka di akhirat kelak. Ketika menjelaskan ayat ini, para ulama’ membawa sebuah kisah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ أَبُو جَهْلٍ هَلْ يُعَفِّرُ مُحَمَّدٌ وَجْهَهُ بَيْنَ أَظْهُرِكُمْ قَالَ فَقِيلَ نَعَمْ فَقَالَ وَاللَّاتِ وَالْعُزَّى لَئِنْ رَأَيْتُهُ يَفْعَلُ ذَلِكَ لَأَطَأَنَّ عَلَى رَقَبَتِهِ أَوْ لَأُعَفِّرَنَّ وَجْهَهُ فِي التُّرَابِ قَالَ فَأَتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يُصَلِّي زَعَمَ لِيَطَأَ عَلَى رَقَبَتِهِ قَالَ فَمَا فَجِئَهُمْ مِنْهُ إِلَّا وَهُوَ يَنْكُصُ عَلَى عَقِبَيْهِ وَيَتَّقِي بِيَدَيْهِ قَالَ فَقِيلَ لَهُ مَا لَكَ فَقَالَ إِنَّ بَيْنِي وَبَيْنَهُ لَخَنْدَقًا مِنْ نَارٍ وَهَوْلًا وَأَجْنِحَةً فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ دَنَا مِنِّي لَاخْتَطَفَتْهُ الْمَلَائِكَةُ عُضْوًا عُضْوًا

Ertinya: Abu Hurayrah menceritakan Abu Jahal pernah bertanya “Adakah Muhammad membenamkan mukanya (solat dan sujud) ketika di ada bersama kalian?” Orang ramai menjawab – Ya!” Abu Jahal berkata “Demi Tuhan (Berhala) al-Lata dan al-‘Uzza, Kalau aku nampak dia masih begitu (sujud), Aku akan benam wajahnya ke tanah.” Dia kemudiannya keluar mencari Rasulullah SAW yang ketika itu sedang solat. Setiap kali Abu Jahal cuba menghampiri Baginda, dia akan terundur ke belakang dan menahan sesuatu dengan dua tangannya. Orang bertanya: “Mengapa kamu berbuat begitu?” Abu Jahal menjawab: “Aku dapati ada parit api, sesuatu menggerunkan dan banyak sayap yang menghalang antara aku dan dia.” Rasulullah bersabda: “Jika dia cuba dekati aku, pasti malaikat akan menyentap anggota badannya satu persatu (Sahih Muslim, hadith no 5005).

Larangan Allah pada akhir surah ini bukan sahaja suatu penegasan agar usah tunduk dengan tuntutan musuh Allah tapi punyai petanda ia situasi paling dekat antara hamba dan Tuhannya. Ia disebut perkataan واقترب – dan dekatkan dirimu kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Ertinya: Saat paling dekat antara seorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika dia sujud. Oleh itu perbanyakkanlah doa (ketika sujud) (Sahih Muslim, hadith no 744(.

Ingat saya dahulu ketika masih kecil kanak-kanak. Kami kuat bermain dan bergurau sehingga ketika solat pun gurauan nak diajukan. Ketika abang saya solat, kanak-kanak nakal ini cuba mengganggunya. Pang! Tangan kecil abang saya menampar tepat ke muka. Saya jatuh menggelupur sakit luar biasa. Pada waktu itu timbul rasa hairan, tamparnya perlahan sahaja tapi sakitnya seperti ditumbuk keras tenaga orang dewasa. Selepas bertahun kisah itu berlalu, saya tadabbur ayat ini. Lalu hati jantung saya SEAKAN DAPAT RASA PUKULAN ITU TURUT TERSELIT PUKULAN MALAIKAT UNTUK MENDIDIK KANAK-KANAK KECIL ITU.

Solat adalah aktiviti paling mulia. Jangan sesekali cuba halang orang daripada menunaikan solat. Jika anda majikan atau yang berkuasa, berikan hak orang bawahan anda untuk menunaikan solat! Jangan sombong cuba menghalang hamba Allah sujud pada Tuhannya kerana bimbang saya, anda akan berhadapan keganasan Zabaniyah di akirat neraka kelak. Mohon dijauhkan Allah!

100384388_10217335542645947_5526412807211319296_n


Comments are Closed