TADABBUR PILIHAN JUZUK 5 – AYAT KUNCI KA’ABAH?

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Malam tadi kami Qiyam juzuk 5 seiring dengan malam kelima Ramadhan. Usai solat saya berkongsi Tafsir ayat pilihan:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Ertinya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat (al-Nisa’ 4:58).

Ayat ini sangat unik! Maknanya menjadi antara prinsip utama Islam. Ia akan sentiasa segar malar sesuai digunakan di mana sahaja dan pada zaman mana pun. Inilah kehebatan al-Quran yang mampu berbicara dalam semua zaman dan tempat. Perihal kepentingan amanah semua sudah tahu. Kisah lokasi turunnya ayat ini jarang orang tahu. Ayat ini turun dalam ka’abah berkaitan kunci Ka’abah.

Pada hari pembukaan Mekah tahun ke 8 Hijri, Rasulullah SAW memanggil sahabatnya ‘Uthman bin Talhah RA untuk mengambil kunci Ka’abah daripadanya. Keluarga ‘Uthman bertanggung jawab sejak sekian lama menjaga kunci Ka’abah. Hak menjaga pengurusan air kepada pengunjung Masjid Haram pula dipegang ‘Abbas bin Abdul Mutalib. Ketika ‘Uthman menghulurkan kunci itu kepada Rasulullah SAW ada suara keluarga ‘Abbas meminta agar hak ekslusif menjaga kunci Ka’abah diberikan kepada mereka agar hak menjaga pengurusan air dan kunci Ka’abah disatukan di bawah penguasaan mereka.

Baginda membuka pintu Ka’abah dan masuk ke dalamnya. Selepas selesai solat dalam Ka’abah baginda keluar sambil membaca ayat 58 di atas. Baginda turut bersabda:

خذوها بابني أبي طلحة خالدةً تالدةً لا يأخذها منكم إلا ظالم

Ertinya: Ambillah ia (kunci Ka’abah ini) wahai keluarga Abi Talhah secara kekal (sehingga kiamat). Tiada siapa yang akan mengambil hak ini daripada kalian melainkan orang yang zalim (al-Isabah Fi Ma’rifat al-Sahabah dan Tafsir Ibn Kathir).

Dikatakan kunci ini kekal berada pada tangan keluarganya iaitu Bani Syaybah sehingga hari ini. Wallahu A’lam!

94485160_10217122283074591_3508071185055219712_n




Comments are Closed