TADABBUR PILIHAN JUZUK 7 – TINGGAL ISLAM SEPERTI SESAT DITIPU JIN PADANG PASIR?

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Malam tadi kami Qiyam juzuk 7 seiring dengan malam ke 7 Ramadhan. Usai solat saya berkongsi Tafsir ayat pilihan:

قُلْ أَنَدْعُو مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَنْفَعُنَا وَلَا يَضُرُّنَا وَنُرَدُّ عَلَى أَعْقَابِنَا بَعْدَ إِذْ هَدَانَا اللَّهُ كَالَّذِي اسْتَهْوَتْهُ الشَّيَاطِينُ فِي الْأَرْضِ حَيْرَانَ لَهُ أَصْحَابٌ يَدْعُونَهُ إِلَى الْهُدَى ائْتِنَا قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَأُمِرْنَا لِنُسْلِمَ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ

Ertinya: Katakanlah: “Patutkah kita menyeru serta menyembah yang lain daripada Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kita; DAN (PATUTKAH) KITA DIKEMBALIKAN UNDUR KE BELAKANG (MENJADI KAFIR MUSYRIK) SETELAH KITA DIBERI HIDAYAH PETUNJUK OLEH ALLAH (DENGAN UGAMA ISLAM), SEPERTI ORANG YANG TELAH DISESATKAN OLEH SYAITAN DI BUMI (DI TEMPAT YANG LENGANG) DALAM KEADAAN BINGUNG, SEDANG DIA PUNYAI SAHABAT YANG MENGAJAKNYA KE JALAN YANG LURUS (DENGAN BERKATA KEPADANYA): “MARILAH BERSAMA KAMI. “Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk yang sebenar, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam” (al-An’am 6:71).

Dalam ayat ini Allah umpamakan orang yang sesat meninggalkan Islam seperti pengembara yang sesat kerana asyik melayan suara pelik dalam perjalanan di padang pasir. Si pengembara meninggalkan temannya yang berada pada jalan kembara yang betul kerana melayan panggilan jin padang pasir yang cuba menyesatkannya (Tafsir al-Tabari & Tafsir Ibn Kathir).

Suara panggilan menggoda sebegini menjadi igauan ngeri para pengembara Arab di pada zaman jahiliah. Mereka percaya ia datang daripada jin jahat padang pasir yang digelar الغُول atau السعلاة . Perihal dua jenis jembalang ini memang direkod dalam syair Arab jahiliah (Raji al-Asmar, al-Jinn Haqiqatuhum). Mangsa yang diganggu jin ini akan tersesat jauh dan akhirnya menemui ajal kekeringan di padang pasir.

Kewujudan sejenis syaitan bernama Ghul atau al-Ghilan disebut sebuah hadith Rasulullah SAW:

وَإِذَا تَغَوَّلَتْ لَكُمْ الْغِيلَانُ فَنَادُوا بِالْأَذَانِ

Ertinya: Apabila jin jahat si penyesat cuba menggangu (menyesatkan perjalananmu), maka segeralah laungkan azan (Musnad Ahmad, hadith no 13759, hadith ini dinilai lemah oleh para ulama’).

Dalam sebuah hadith sahih, azan sangat digeruni oleh syaitan:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ أَدْبَرَ
الشَّيْطَانُ وَلَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لَا يَسْمَعَ التَّأْذِينَ

Ertinya: Apabila dilaungkan azan untuk solat, syaitan lari terkentut-kentut sehingga tidak didengarinya laungan azan (Sahih al-Bukhari hadith no 573 & 1146).

Ringkasnya, para penyembah berhala atau penganut agama lain seakan pengembara yang disesatkan jembalang padang pasir sedangkan temannya yang setia (yang sudah menemui hidayah Islam) memanggilnya ke jalan kebenaran. Rasulullah SAW yang membawa Islam seumpama “ORANG YANG MEMILIKI PETA ATAU KOMPAS ISLAM YANG MEMBAWA KE SYURGA,” oleh itu sangat rugi jika kita meninggal Baginda SAW.

Ya Allah! Selamatkan kami dari musibah kesesatan akibat mengabaikan al-Quran dan al-Sunnah sebagaimana tersesatnya para pengembara di hutan kerana mengabaikan peta dan kompas yang sudah sedia dimilikinya.

94640212_10217136912920328_7819656809035071488_n




Comments are Closed