TADABBUR PILIHAN JUZUK 8 – AYUH KENALI “RASUL” DALAM KALANGAN JIN??

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Malam tadi kami Qiyam juzuk 8 seiring dengan malam ke 8 Ramadhan. Usai solat saya berkongsi Tafsir ayat pilihan:

يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِنْكُمْ يَقُصُّونَ عَلَيْكُمْ آَيَاتِي وَيُنْذِرُونَكُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَذَا قَالُوا شَهِدْنَا عَلَى أَنْفُسِنَا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَشَهِدُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَنَّهُمْ كَانُوا كَافِرِينَ

Ertinya: Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu para Rasul dalam kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-Ku (perintah-Ku), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini? Mereka menjawab: “Kami menjadi saksi mengakui akan (kesalahan) diri kami sendiri (mendustakan para rasul itu)”. Dan (sebabnya ialah) mereka telah diperdayakan oleh (kemewahan) hidup di dunia dan (kerana itulah) mereka menjadi saksi (pada hari akhirat) terhadap diri mereka sendiri: (bahawa) sesungguhnya mereka adalah orang yang mengingkari (apa yang telah disampaikan oleh para rasul itu) (al-An’am 6.130).

Ayat ini memberi amaran kepada semua manusia dan jin tentang agama Allah. Pun begitu, ada sesetengah orang keliru tentang pengutusan Rasul dalam kalangan bangsa Jin. Bolehkah perkara ini berlaku? Kekeliruan ini berpunca daripada ayat di atas, sedangkan para Rasul hanya diutus dalam kalangan manusia dan bukannya jin. Jika begitu, apa maksud ayat di atas? Siapa para rasul dalam kalangan jin itu?

Utusan manusia dalam ayat ini membawa maksud hakiki, manakala utusan dalam kalangan Jin pula bermaksud pemberi peringatan atau pembawa utusan para Rasul sebenar (Tafsir Ibn Kathir). Maksud pembawa utusan Rasul sebenar dijelaskan sebuah Firman Allah:

وَإِذْ صَرَفْنَا إِلَيْكَ نَفَرًا مِنَ الْجِنِّ يَسْتَمِعُونَ الْقُرْآَنَ فَلَمَّا حَضَرُوهُ قَالُوا أَنْصِتُوا فَلَمَّا قُضِيَ وَلَّوْا إِلَى قَوْمِهِمْ مُنْذِرِينَ

Ertinya: Dan (ingatlah peristiwa) semasa Kami halakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): “Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!” Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran (al-Ahqaf 46:29).

Para rasul dalam kalangan jin yang dinyatakan oleh ayat ini adalah generasi pertama Jin yang memeluk Islam pada zaman Rasulullah SAW. Mereka diiktiraf sebagai sahabat Rasulullah kerana beriman kepada baginda. Para ulama’ hadith menyebut nama mereka dalam senarai para sahabat nabi, antaranya adalah: Zawba’ah, al-Arqam, al-Adras, Hasir, Khasir, Surraq, ‘Amru bin Jabir dan sebagainya (Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Isabah fi Ma’rifat al-Sahabah & Mustadrak al-Hakim [Kitab al-Tafsir, bab Tafsir surah al-Ahqaf]).

Sebagai penutup tadabbur hari ini, saya kongsikan sebuah riwayat lain yang boleh membantu kita faham isu ini:

Pada suatu hari khalifah ‘Umar ibn ‘Abdul ‘Aziz melalui padang pasir yang kontang, lalu beliau menemui seekor ular mati. Beliau kemudiannya membungkus ular tersebut dengan lebihan pakaiannya dan menanamnya. Tiba-tiba beliau terdengar satu suara berkata:

رحمة الله عليك يا سرق ، فأشهد لسمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم : « تموت يا سرق في فلاة من الأرض يدفنك خير أمتي » فقال له عمر بن عبد العزيز : « من أنت يرحمك الله ؟ » قال : أنا رجل من الجن ، وهذا سرق ، ولم يكن ممن بايع رسول الله صلى الله عليه وسلم من الجن أحد غيري

Ertinya: “Rahmat Allah ke atasmu Wahai Surraq (nama jin yang mati), Aku bersaksi aku benar-benar mendengar Rasulullah SAW berkata padamu; engkau akan mati wahai Surraq di padang pasir yang kontang, lalu kamu akan dikafan serta dikembumikan oleh lelaki terbaik dari umatku (lelaki soleh)”. ‘Umar bertanya: “Siapakah anda?”. Suara itu berkata: “Aku adalah lelaki dari kalangan jin, yang mati itu adalah Surraq. Tiada lagi yang hidup antara jin yang pertama sekali beriman kepada Rasulullah kecuali aku” (Imam al-Bayhaqi, Dala’il al-Nubuwwah & Badr al-Din al-Shibli, Akam al-Murjan Fi Ahkam al-Jan, hal 70).

Para Rasul hakiki sudah lama meninggalkan kita, tetapi kita tetap boleh dan perlu menjadi utusan para Rasul hakiki dengan membawa mesej Islam kepada semua!




Comments are Closed