TADABBUR PILIHAN JUZUK 8 – JANGAN JADI SYAITAN MANUSIA!

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Malam tadi kami Qiyam juzuk 8 seiring dengan malam ke 8 Ramadhan. Usai solat saya berkongsi Tafsir ayat pilihan:

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا

Ertinya: Dan demikianlah Kami jadikan bagi setiap Nabi itu musuh dari syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya (al-An’am 6:112).

Ayat ini pada asasnya membicarakan 2 jenis musuh para nabi yang sentiasa wujud sepanjang zaman. Syaitan jin yang ghaib daripada pandangan mata kita sudah diketahui umum wujudnya. Bagaimana pula syaitan manusia? Mereka adalah manusia jahat yang wujud pada zaman Nabi SAW seperti Abu Jahal dan al-Walid bin al-Mughirah. Kerja mereka tidak lain, menyakiti dan menggangu Rasulullah SAW secara berterusan kerana mahu memadamkan cahaya Islam. Walaupun berbeza spesis, kedua jenis syaitan ini bersatu pada satu sifat iaitu “PENIPU YANG BERMULUT MANIS” sebagaimana dinyatakan ayat di atas.

Mereka bijak menyusun kalam indah bagi menyesat atau menipu manusia. Pada zaman ini, rupanya RAMAI dan BANYAK sungguh manusia yang menepati ciri SYAITAN MANUSIA YANG SANGGUP MENIPU. Siapa mereka? Di sini saya beri satu contoh iaitu; penjual ubat ajaib yang didakwa mampu merawat berbagai penyakit. Dakwaan mereka jauh daripada kebenaran bahkan sangat berbahaya kepada orang sakit. Mereka pandai bermain kata dan promosi walaupun dakwaan itu jauh daripada kebenaran. Kesannya orang sakit terpedaya berhabis duit membeli ubat mereka yang bukan ubat pun sebenarnya.

Tambah parah apabila sakit si pesakit bertambah teruk setelah mengambil ubat mereka. Kepada penjual ubat sebegini, janganlah mencipta fakta palsu demi untuk “melaku-keraskan” produk anda. Setiap patah fakta palsu yang anda cipta bakal menjerumuskan anda ke dalam kawah neraka seperti amaran Nabi SAW ini:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ يَنْزِلُ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ

Ertinya: Sesungguhnya seorang hamba (manusia) boleh sahaja bercakap sesuatu perkara yang tidak dapat dipastikan kebenarannya, lalu (perkara itu) AKAN MENJERUMUSKANNYA SEMAKIN DALAM KE DALAM NERAKA SEJAUH ANTARA TIMUR DAN BARAT (Sahih al-Bukhari & Muslim).

94701213_10217146418757968_3087600917638283264_n




Comments are Closed