TADABBUR PILIHAN JUZUK 8 – SIDANG VIDEO DI AKHIRAT?

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Malam tadi kami Qiyam juzuk 8 seiring dengan malam ke 8 Ramadhan. Usai solat saya berkongsi Tafsir ayat pilihan:

وَنَادَى أَصْحَابُ النَّارِ أَصْحَابَ الْجَنَّةِ أَنْ أَفِيضُوا عَلَيْنَا مِنَ الْمَاءِ أَوْ مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَهُمَا عَلَى الْكَافِرِينَ (50)

Ertinya: Dan (Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firmannya): Ahli neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata): “Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu”. Mereka (ahli Syurga) menjawab: “Sesungguhnya Allah telah haramkan keduanya atas orang kafir”. (al-A’raf 7:50).

Himpunan ayat ini (al-A’raf 7:44-50), menyebut dialog antara ahli syurga, penghuni al-A’raf dan ahli neraka. Penghuni A’raf (tempat antara syurga dan neraka) adalah Muslim yang sama banyak amal baik dan buruknya. Kemasukan mereka ke syurga tertangguh seketika, lalu mereka ditempatkan di satu lokasi antara syurga dan neraka. Mereka melihat dengan gerun azab penghuni neraka dan sangat mahukan ni’mat ahli syurga. Ayat 50 di atas pula menceritakan permintaan ahli neraka terhadap ahli syurga.

Dahulu, ketika teknologi masih terbatas kita baca ayat ini dengan kehairanan. Bagaimana mereka boleh berinteraksi sedangkan jarak syurga neraka sangat jauh antara langit dan bumi. Pada waktu itu kita berkata “Ini alam akhirat, semua yang pelik tidak mustahil pada kuasa Allah.”

Alhamdulillah! Setelah teknologi moden berkembang pesat, banyak yang kabur menjadi jelas. Sudah tak mustahil dua individu yang jauh lokasinya berhubung dengan berbagai aplikasi yang wujud seperti skype, zoom, google meet dan sebagainya. Subhanallah! Secara tidak langsung al-Quran sudah menunjukkan kemungkinan wujudnya segala teknologi yang semakin pesat membangun.

Sebenarnya banyak lagi ayat yang mirip seperti ayat di atas:

1) Ahli syurga meninjau dan mencari ahli neraka lalu menempelak mereka dengan sinis (al-Saffat 37:50-59).

2) Ahli syurga mengejek dan mentertawakan ahli neraka yang dahulunya semasa di dunia selalu mengejek dan mentertawakan mereka kerana beriman kepada Allah (al-Mutaffifin 83:29-36).

94567336_10217146610162753_3561251199531352064_o




Comments are Closed