TADABBUR PILIHAN JUZUK 9 – JADI AGEN PENGHALANG AZAB BERSAMA RASULULLAH?

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Malam tadi kami Qiyam juzuk 9 seiring dengan malam ke 9 Ramadhan. Antara Tafsir ayat pilihan yang bagus kita perhatikan adalah:

وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنْتَ فِيهِمْ وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

Ertinya: DAN ALLAH TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENYEKSA MEREKA, SEDANG ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) ADA DI ANTARA MEREKA; DAN ALLAH TIDAK AKAN MENYEKSA MEREKA SEDANG MEREKA BERISTIGHFAR (MEMINTA AMPUN) (al-Anfal 8:33)

Rasulullah SAW dan istighfar (taubat) menjadi sebab terhalangnya azab di dunia. Di Mekah dahulu, orang Mekah selalu mengejek Baginda agar segera didatangkan azab kerana kedegilan mereka menolak Islam. Doa mereka direkodkan dalam beberapa tempat:

وَإِذْ قَالُوا اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ هَذَا هُوَ الْحَقَّ مِنْ عِنْدِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةً مِنَ السَّمَاءِ أَوِ ائْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah mengejek nabi sambil) berkata: “Wahai tuhan kami! Jika betul (Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisi-Mu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. (al-Anfal 8:32).

Juga firman Allah:

وَقَالُوا رَبَّنَا عَجِّلْ لَنَا قِطَّنَا قَبْلَ يَوْمِ الْحِسَابِ

Ertinya: Dan mereka pula berkata (secara mengejek-ejek): “Wahai Tuhan kami! Segerakanlah azab yang ditetapkan untuk kami, sebelum datangnya hari hitungan amal (yang dikatakan oleh Muhammad itu)” (Sad 38:16).

Kita mungkin tertanya-tanya mengapa Allah tidak terus memusnahkan mereka dek doa ejek itu? Tambahan pula doa itu dipanjatkan di bumi istimewa Mekah. Jawabnya, kerana Baginda Rasulullah SAW masih berada di Mekah pada waktu itu. Besar sekali syafaat Baginda kepada seluruh manusia tanpa mengira yang Muslim atau yang Kufur. Allah sangat cintakan Baginda sehingga menghalang azab turun di tempat wujudnya Baginda. Perhatikan hadith ini:

النُّجُومُ أَمَنَةٌ لِلسَّمَاءِ فَإِذَا ذَهَبَتْ النُّجُومُ أَتَى السَّمَاءَ مَا تُوعَدُ وَأَنَا أَمَنَةٌ لِأَصْحَابِي فَإِذَا ذَهَبْتُ أَتَى أَصْحَابِي مَا يُوعَدُونَ وَأَصْحَابِي أَمَنَةٌ لِأُمَّتِي فَإِذَا ذَهَبَ أَصْحَابِي أَتَى أُمَّتِي مَا يُوعَدُونَ

Ertinya: Bintang-bintang adalah penjamin keamanan langit, apabila bintang hilang maka datanglah kepada langit apa yang dijanjikan padanya (kiamat). AKU ADALAH PENJAMIN KESELAMATAN PARA SAHABATKU, APABILA AKU WAFAT MAKA DATANGLAH KEPADA PARA SAHABATKU APA YANG DIJANJIKAN KEPADA MEREKA. Para sahabatku adalah penjamin keselamatan umatku, apabila mereka wafat, datanglah kepada umatku apa yang dijanjikan kepada mereka (Sahih Muslim, hadith no 4596 dan Musnad Ahmad, hadith no 18745).

Rupanya bukan Baginda SAW sahaja penghalang azab, ia turut berlaku kepada para nabi lain. Antara yang disebut nyata dalam al-Quran adalah kisha Nabi Lut AS yang diarahkan keluar dari Sadum kerana Allah mahu memusnahkan negeri penggila seks songsang itu (Hud 11:81-83 dan al-Hijr 15:65-66).

Baginda SAW sudah lama wafat. Ini bermakna kita sudah hilang PENGHALANG AZAB yang utama, tapi usah gusar kerana kita masih ada satu lagi penghalang azab iaitu istighfar atau taubat. Atau dengan kata lain, wujudnya orang yang sentiasa memohon ampunan dan bertaubat kepada Allah. Biasanya istighfar dan taubat dilafaz menjadi irama hidup kaki surau dan masjid kerana itulah wirid wajib mereka selepas solat. Secara tidak langsung, mereka yang mengikat diri berjemaah di surau masjid sebenarnya sangat mulia kerana menjadi agen penghalang azab. Apa tunggu lagi! Marilah kita bersama semarakkan Jemaah di Surau dan Masjid selepas PKP berakhir untuk sama-sama menjadi agen penghalang azab yang disebut Allah.

95371914_10217155272459305_1045546776746000384_n




Comments are Closed