TADABBUR RINGKAS JUZUK 4 – KISAH ORANG MENGANTUK DALAM PERANG UHUD

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari Bin Abdul Rahim

Malam tadi kami Qiyam juzuk 4 seiring dengan malam keempat Ramadhan. Usai solat saya berkongsi Tafsir ayat pilihan:
ثُمَّ أَنْزَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ بَعْدِ الْغَمِّ أَمَنَةً نُعَاسًا يَغْشَى طَائِفَةً مِنْكُمْ وَطَائِفَةٌ قَدْ أَهَمَّتْهُمْ أَنْفُسُهُمْ يَظُنُّونَ بِاللَّهِ غَيْرَ الْحَقِّ ظَنَّ الْجَاهِلِيَّةِ يَقُولُونَ هَلْ لَنَا مِنَ الْأَمْرِ مِنْ شَيْءٍ قُلْ إِنَّ الْأَمْرَ كُلَّهُ لِلَّهِ ….
Ertinya: Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah turunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan daripada kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang jahiliyah. Mereka berkata: “Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah, (Dia lah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut peraturan yang ditetapkan-Nya)”….. (Ali ‘Imran 3:154).
Ayat ini asalnya turun dalam perang Uhud menceritakan kegemparan perang apabila umat Islam mengalami kekalahan berikutan robohnya kubu pasukan pemanah yang Nabi SAW tempatkan atas bukit pemanah. Ajaibnya, ketika kegawatan itu, Allah turunkan RASA MENGANTUK kepada segelintir para sahabat yang teguh berjuang bersama Nabi SAW. Ia disokong-sebut sebuah hadith:
عَنْ أَنَسٍ عَنْ أَبِي طَلْحَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ كُنْتُ فِيمَنْ تَغَشَّاهُ النُّعَاسُ يَوْمَ أُحُدٍ حَتَّى سَقَطَ سَيْفِي مِنْ يَدِي مِرَارًا يَسْقُطُ وَآخُذُهُ وَيَسْقُطُ فَآخُذُهُ
Ertinya: Abu Talhah RA berkata, Aku antara orang yang dilanda rasa mengantuk dalam perang Uhud sehingga pedangku jatuh daripada tanganku beberapa kali. Jatuh lalu aku kutip, ia jatuh lagi dan aku angkat balik (Sahih al-Bukhari, hadith no 3761).
Ajaib sungguh! Apa peranan rasa mengantuk ini? Tidak lain ia adalah cara Allah serap rasa takut, gempar dan panik para sahabat. Ia seperti situasi sesetengah kita yang keletihan, ketika badan terlalu letih kita tertidur tanpa sedar. Setelah bangun, letih hilang seketika.
Rupanya kisah bukan hanya berlaku dalam perang Uhud, ia turut berlaku dalam perang Badar. Bezanya dalam perang Uhud rasa mengantuk melanda ketika perang berlaku, manakala perang Badar rasa mengantuk datang pada malam sebelum perang. Mengapa? Allah mahu hilangkan rasa resah para sahabat yang bakal bertemu musuh yang lebih ramai. Juga supaya mereka mendapat rehat secukupnya untuk bertempur sepenuh hati pada esoknya. Firman Allah:
إِذْ يُغَشِّيكُمُ النُّعَاسَ أَمَنَةً مِنْهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُمْ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً لِيُطَهِّرَكُمْ بِهِ وَيُذْهِبَ عَنْكُمْ رِجْزَ الشَّيْطَانِ وَلِيَرْبِطَ عَلَى قُلُوبِكُمْ وَيُثَبِّتَ بِهِ الْأَقْدَامَ
Ertinya: (Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan daripada kamu gangguan Syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan) (al-Anfal 8:11).
Ketika mengulas rasa mengantuk yang menerobos datang dalam kedua perang, Abdullah bin Mas’ud berkata:
عن عبد الله بن مسعود ، قال : النعاس في القتال من الله ، وفي الصلاة من الشيطان
Ertinya: Rasa mengantuk dalam perang (adalah pertolongan) dari Allah, manakala mengantuk dalam solat adalah gangguan syaitan (Tafsir Ibn Abi Hatim, riwayat no 4408).
Allah sentiasa membantu para pejuang agama-Nya jika kita yakin dengan kuasa serta janji-Nya (Muhamamad 47:7).

94506295_10217110647783716_3607624442462601216_n




Comments are Closed