TADABBUR RINGKAS JUZUK 4 – PARA SAHABAT LUPA AYAT YANG DIBACA PADA HARI WAFAT RASULULLAH?

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari Bin Abdul Rahim

Malam tadi kami Qiyam juzuk 4 seiring dengan malam keempat Ramadhan. Usai solat saya berkongsi Tafsir ayat pilihan:
وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَى عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ (144)
Ertinya: Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu) (Ali ‘Imran 3:144).
Nabi manusia biasa yang akan mati (al-Anbiya’ 21:34-35). Walaupun Baginda wafat, Islam akan terus kekal releven membimbing manusia sampai kiamat. Asalnya ayat ini turun dalam perang Uhud ketika khabar angin tersebar Rasulullah SAW sudah gugur syahid (Tafsir Ibn Kathir). Selain itu, ayat ini ada kisahnya tersendiri PADA HARI KEWAFATAN RASULULLAH SAW. Kisahnya begini:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ أَبَا بَكْرٍ خَرَجَ وَعُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ يُكَلِّمُ النَّاسَ فَقَالَ اجْلِسْ يَا عُمَرُ فَأَبَى عُمَرُ أَنْ يَجْلِسَ فَأَقْبَلَ النَّاسُ إِلَيْهِ وَتَرَكُوا عُمَرَ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ أَمَّا بَعْدُ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ مَاتَ وَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ يَعْبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَيٌّ لَا يَمُوتُ قَالَ اللَّهُ
{ وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ إِلَى قَوْلِهِ الشَّاكِرِينَ }
وَقَالَ وَاللَّهِ لَكَأَنَّ النَّاسَ لَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ هَذِهِ الْآيَةَ حَتَّى تَلَاهَا أَبُو بَكْرٍ فَتَلَقَّاهَا مِنْهُ النَّاسُ كُلُّهُمْ فَمَا أَسْمَعُ بَشَرًا مِنْ النَّاسِ إِلَّا يَتْلُوهَا فَأَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ أَنَّ عُمَرَ قَالَ وَاللَّهِ مَا هُوَ إِلَّا أَنْ سَمِعْتُ أَبَا بَكْرٍ تَلَاهَا فَعَقِرْتُ حَتَّى مَا تُقِلُّنِي رِجْلَايَ وَحَتَّى أَهْوَيْتُ إِلَى الْأَرْضِ حِينَ سَمِعْتُهُ تَلَاهَا عَلِمْتُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ مَاتَ
Ertinya: Abdullah bin ‘Abbas menceritakan pada hari kewafatan Rasulullah SAW, Abu Bakar RA cuba meredakan Umar. Beliau minta supaya Umar duduk, namun Umar enggan. Orang ramai lalu mendatangi Abu Bakar, berikutan itu beliau berkata: “Adapun sesiapa antara kalian yang menyembah Muhammad SAW, maka sesungguhnya Muhammad SAW sudah wafat. Akan tetapi sesiapa antara kalian yang menyembah Allah, maka ketahuilah bahawa Allah sentiasa Hidup tidak mati, Allah berfirman: Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)?……” Abdullah bin ‘Abbas meneruskan kata: Demi Allah! Seakan orang ramai tak pernah dengar ayat itu sehinggalah ia dibaca Abu Bakar. Orang ramai kemudiannya berkerumun mengambil ayat ini daripada Abu Bakar… (Pada hari itu) semua orang membaca ayat ini… Umar berkata setelah aku dengar ayat itu dibaca Abu Bakar, maka lemahlah kedua kakiku dan aku jatuh terduduk ke bumi kerana sedar bahawa Baginda Rasulullah SAW sudah wafat (Sahih al-Bukhari, hadith no 4097.
Ada beberapa isu di sebalik ayat ini:
1) PARA SAHABAT SANGAT MENCINTAI RASULULLAH SAW. Cinta yang mendalam kepada Baginda SAW menyebabkan sesetengah mereka seperti Umar tidak dapat menerima hakikat itu. Setelah ditegur dengan ayat ini mereka akur. Inilah kehebatan para sahabat, mereka sangat tunduk kepada al-Quran. Kita patut miliki sikap yang sama, dengar sahaja ayat al-Quran terus tunduk akur pada arahan Allah.
2) AYAT INI DIJAGA ALLAH DENGAN HAFAZAN ABU BAKAR. Para sahabat pernah dengar ayat ini tetapi kebanyakannya lupa ia pernah diturunkan. Tindakan Abu Bakar membaca ayat ini pada HARI YANG TEPAT sebenarnya digerakkan Allah sebagai mekanisme untuk menjaga firman-Nya kerana Allahs endiri menjamin penjagaan al-Quran (al-Hijr 15:9).
3) KATA-KATA TERAKHIR RASULULLAH SAW SEBELUM WAFAT “BUKAN UMMATI-UMMATI.” Jika kita semua hadith tentang kewafatan Baginda, disebut dengan nyata bawa lafaz terakahir diucapkan Baginda adalah “الرفيق الأعلى – KE PANGKUAN TERTINGGI.” Maksudnya baginda mahu kembali kepada Allah. Lihat dan rujuk Sahih al-Bukhari, hadith no 3394, 4082, 4083, 4084, 4094, 4096, 4104, 5872, 6028, 6029 dan Sahih Muslim, hadith no 4061, 4476).

 




Comments are Closed