Tahan Diri Daripada Komen, Sindir dan Kutuk Kes Penahann Dato’ Seri Najib dan Kematian Adam Rayqal

Malaysia digemparkan dengan dua peristiwa besar dalam tempoh sehari iaitu penahanan mantan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Razak dan kematian bayi Adam Rayqal di rumah pengasuhnya di Kampong Nakhoda, Batu Caves, Selangor.

Berikutan 2 peristiwa ini, pihak MURSHID berasa perlu menasihati umat Islam di Malaysia agar tidak terjerumus dalam “dosa bicara tangan dan lidah” terutama sekali dalam media sosial.

1) Perlu diingat setiap perbuatan kita ada audit dan hisabnya oleh Allah melalui catatan dan rekod kekal para malaikat. Ia dijelaskan Allah dalam firman-Nya:

مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Ertinya: Tidak ada SEBARANG PERKATAAN YANG DILAFAZKANNYA (ATAU PERBUATAN YANG DILAKUKANNYA) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya) (Qaf 50:18).

Sebarang komentar, sindiran, penyebaran maklumat yang tidak tepat atau punyai persepsi negative akan diaudit secara adil oleh Allah di akhirat kelak. Sebelum menulis sesuatu dalam media social, fikirlah semasak-masaknya bimbang nanti tangan anda menjadi sebab dosa yang tak terbayang oleh minda kita. Ingat firman Allah ini:

ذَلِكَ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيكُمْ وَأَنَّ اللَّهَ لَيْسَ بِظَلَّامٍ لِلْعَبِيدِ

Ertinya: (Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada para hamba-Nya (al-Anfal 8:51).

Amalkan kebijaksanaan sebelum bicara sebagaimana kata-kata hikmah ini:

إن لسان الحكيم من وراء قلبه ، فإذا أراد أن يقول يرجع إلى قلبه ، فإن كان له قال ، وإن كان عليه أمسك ، وإن الجاهل قلبه في طرف لسانه ، لا يرجع إلى القلب ، فما أتى على لسانه تكلم به

Ertinya: Sesungguhnya lidah si Bijaksana berada di hadapan hatinya. Apabila dia mahu berkata sesuatu dia akan merujuk kepada hatinya terlebih dahulu. Jika katanya memberi manafaat padanya barulah dia akan berkata-kata, manakala jika katanya itu akan menjadi hujah (menentangnya) dia akan menahan (lidahnya dari berbicara). Orang jahil pula hatinya berada pada hujung lidahnya. Dia tidak merujuk kepada hatinya dan apa sahaja terlintas di lidah terus dituturkan (al-Zuhdu Wa al-Raqa’iq oleh Imam Ibn al-Mubarak).

2) Berikan ruang kepada pihak berkuasa melakukan kerja mereka. Jangan beri hukuman kepada yang tertuduh sebelum sebarang siasatan selesai. Kisah daripada firman Allah ini perlu dihayati:

وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَى أُولِي الْأَمْرِ
مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلَّا قَلِيلًا

Ertinya: Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “Ulil-Amri” (pihak yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu) (al-Nisa’ 4:83).

Ayat ini mempunyai latar belakang yang menarik dan sesuai dengan fenomena yang berlaku di Malaysia sekarang. Pada zaman baginda SAW, tersebar berita tidak pasti dalam kalangan orang Islam Madinah bahawa Rasulullah SAW sudah menceraikan isterinya kerana suatu peristiwa. Sayyidina Umar bin al-Khattab RA kemudiannya bertemu baginda bagi mengesahkan spekulasi tersebut. Rupanya berita tersebut tidak benar sama sekali. Berikutan peristiwa itu, Allah menurunkan ayat 83 surah al-Nisa’ di atas sebagai teguran kepada umat Islam (Sahih Muslim hadith no 2704 dan Tafsir Ibn Kathir).

Pengajaran penting bagi semua rakyat Malaysia, jangan bertindak melebihi pihak berkuasa. Berikan ruang untuk mereka bertindak dan menyiasat 2 kes yang berlaku ini. Sebarang sindiran, ejekan, perlian serta sebaran maklumat tak pasti dalam media social akan menggangu siasatan dan memburukkan persepsi terhadap pihak yang tertuduh.

3) Elak diri daripada berkongsi maklumat yang tidak pasti atau berstatus “sangkaan.” Hayatilah sabda Rasulullah SAW ini:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Ertinya: Cukuplah seseorang itu digelar pendusta jika dia berbicara dengan apa sahaja yang didengarnya (Sahih Muslim).

Juga pesanan baginda SAW:

إِنَّ اللَّهَ يَرْضَى لَكُمْ ثَلَاثًا وَيَكْرَهُ لَكُمْ ثَلَاثًا فَيَرْضَى لَكُمْ أَنْ تَعْبُدُوهُ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا
وَأَنْ تَعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَيَكْرَهُ لَكُمْ قِيلَ وَقَالَ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ وَإِضَاعَةِ الْمَالِ

Ertinya: Allah suka jika kamu lakukan tiga perkara dan benci jika kamu lakukan tiga perkara. Allah suka jika kamu (1) menyembah-Nya (sahaja) dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa yang lain, (2) berpegang dengan tali (agama) Allah secara keseluruhan, dan (3) tidak berpecah belah. Allah benci jika kamu (1) bercakap dengan sesuatu yang tidak pasti atau tanpa selidik, (2) banyak bertanya perkara yang tidak berfaedah, dan (3) menghabiskan harta (pada perkara yang haram) (Sahih Muslim).

4) Elak diri daripada menggunakan bahasa ejek, kutuk, caci atau sindir ketika mengulas sesuatu isu kerana ia tidak membawa apa-apa kebaikan. Tambahan pula bahasa sedemikian tak mampu mengubah pihak yang mahu ditegur. Bahasa itu sebaliknya menjadi pintu syaitan merosakkan hubungan sesama kita dan menyemarakkan kebencian. Hayati firman Allah ini:

وَقُلْ لِعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْزَغُ بَيْنَهُمْ إِنَّ الشَّيْطَانَ
كَانَ لِلْإِنْسَانِ عَدُوًّا مُبِينًا

Ertinya: Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada para hamba-Ku (yang beriman), “supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia” (al-Isra’ [17:53]).

Jika kita telusuri al-Quran, kita akan dapati bahasa ejek, kutuk, perli dan sindir adalah senjata yang digunakan oleh para penentang Rasul. Rujuk firman Allah dalam ayat-ayat berikut (Hud 11:38-39, al-An’am 6:10, al-Anbiya’ 21:41, al-Tawbah 9:61 & 79).

Budaya ejek sindir juga bercanggah dengan sifat orang beriman sebagaimana firman Allah ini:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَى أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَى أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Ertinya: Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim (al-Hujurat [49:11]).

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Timbalan Presiden
MURSHID

4 Julai 2018.

Close up of a man using mobile smart phone ** Note: Shallow depth of field


Comments are Closed