TAKUT ANCAMAN? SOLAT-LAH BERJEMAAH DI RUMAH SEPERTI BANI ISRA’IL!

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Walaupun Masjid Surau diarah tutup KERANA MASLAHAH YANG LEBIH BESAR, solat Jemaah tetap boleh dilakukan bersama keluarga di rumah. Rupanya ini bukan perkara baru. Ia pernah Allah arahkan kepada Bani Isra’il pada zaman nabi Musa:

وَأَوْحَيْنَا إِلَى مُوسَى وَأَخِيهِ أَنْ تَبَوَّآ لِقَوْمِكُمَا بِمِصْرَ بُيُوتًا وَاجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قِبْلَةً وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ (87)

Ertinya: Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): “Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan jadikanlah rumah kamu tempat solat, serta dirikanlah solat di dalamnya; dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang beriman (bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya)” (Yunus 10:87).

Menurut para ulama’ Tafsir, arahan ini dibuat ketika ketakutan mereka memuncak dek kezaliman Firaun ke atas Bani Isra’il (Tafsir Ibn Kathir).

Situasi ancaman COVID 19 juga sangat releven untuk kita jadikan rumah kita semua sebagai tempat berjemaah bersama keluarga. Mudah-mudahan musibah ini menjadi sebab hubungan keluarga erat bertaut. Juga menjadi tapak untuk menyuburkan lagi CINTA SOLAT BERJEMAAH DI MASJID SURAU selepas larangan kerajaan ditarik kembali.




Comments are Closed